Powered By Blogger

Selamat Datang Ke Blog SMK Syed Hassan

"Selamat Datang" diucapkan kepada para pengunjung blog. Blog ini telah dimulakan pada 15 April 2009 pada pukul 8.30 pagi di BTPN Perlis. Kandungan blog adalah mengenai kegiatan-kegiatan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Selamat melayar.

Thursday, April 23, 2009

Pendidikan Pencegahan Dadah

Untuk renungan warga SMK Syed Hassan. Penyelesai masalah? 23/02/2009 Oleh Suliati Asri -suliati@hmetro.com.my Metro, JIKA difikirkan secara logik, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan mampu berfikir secara rasional, pastinya gejala penggunaan dadah di kalangan pelajar kolej atau universiti seharusnya tidak terjadi. Namun, pendidikan bukan jaminan seseorang itu bersih daripada masalah sosial yang kian menular di kalangan masyarakat kini. Ini terbukti apabila seramai 95 orang atau kira-kira dua peratus daripada 12,352 penagih dadah yang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara tahun lalu, membabitkan pelajar kolej atau penuntut universiti. Sebahagian besar daripada jumlah pelajar itu mengambil dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik dan baru pada peringkat awal terbabit dalam penagihan dadah. Selain itu, kajian yang dilakukan di sebuah universiti mendapati dua daripada 1,000 pelajar terbabit dengan dadah. Jika dilihat kepada purata kajian itu dengan jumlah IPT yang ada di negara kita, pasti ramai antara pelajar kita yang terbabit dalam pengambilan najis dadah ini. Sudah banyak usaha yang dilakukan negara terutama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahaya dadah, namun masalah ini terus berleluasa. Iklan di kaca televisyen dan akhbar menelan jutaan ringgit dan kempen yang dijalankan bagaikan tidak ada fungsinya. Pastinya, sebagai bijak pandai, mereka tahu baik buruk dan kesan daripada penggunaan dadah ini, namun mengapa masih menjadikan dadah sebagai teman? Awang (bukan nama sebenar) penuntut tahun akhir di sebuah IPT di ibu negara berkata, sebagai pelajar, mereka mengetahui kesan dan akibat pengambilan dadah. Banyak faktor pelajar terbabit mengambil dadah. "Pelajar mengambil dadah kerana ingin berseronok dan lari daripada masalah terutama masalah peribadi. "Dengan sumber kewangan terhad dan hanya bergantung kepada wang pinjaman pendidikan, peluang berseronok itu terhad. "Oleh itu, dadah dijadikan hiburan kerana harganya mengikut kos yang mampu dibayar pelajar. Banyak duit, banyaklah bekalan yang diperoleh," katanya. Selain itu, keistimewaan atau daya penarik dadah ia mampu mengkhayalkan seseorang itu. "Apabila saya mengambil dadah, kepala serabut dengan pelbagai masalah terutama keluarga dan pelajaran hilang," katanya. Seseorang pengguna dadah juga dikatakan lebih kuat atau berani dalam melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, ialah di kalangan Mat Rempit. Sebelum melakukan aksi berbahaya, mereka menggunakan dadah dan hasilnya mereka boleh berjaga malam. Bagaimanapun, tidak semua pelajar menggunakan dadah hanya untuk berseronok dan keluar daripada masalah. Ini kerana, menurut Awang, ada segelintir pelajar menggunakan dadah untuk lebih fokus dalam pembelajaran. "Apabila mengambil dadah, kita boleh berjaga malam dan kepala lebih tenang serta pemikiran menjadi kosong. "Dengan itu, apa juga yang di pelajari atau dibaca, kita boleh mengingatinya. Kebiasaannya, ia dilakukan mereka yang tidak ada masa cukup untuk mengulang kaji pelajaran," katanya. Apa pun, menurutnya, dadah tetap dadah dan ia memberi banyak kesan negatif berbanding positif. "Saya mengaku terbabit dengan dadah dan sedang berusaha meninggalkan benda terkutuk ini. "Mulanya, hanya berseronok namun sebenarnya boleh membawa ketagihan. "Ketagihan merosakkan seseorang walaupun ia belajar sampai ke peringkat lebih tinggi," katanya. Sementara itu, seorang lagi pelajar IPT, Daniel (bukan nama sebenar) berkata, jenis dadah digunakan pelajar berbeza-beza dan kesannya tidak sama. "Biasanya mereka akan menggunakan dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik," katanya. Penagih dadah di kalangan pelajar juga mempunyai istilah tersendiri seperti kapal selam, balut dan pipon. Rektor Kolej Poly-Tech Mara, Datuk Dr Mohd Razali Agus berkata punca cerdik pandai ini terjerumus dalam penagihan banyak faktor. "Banyak perlu dikaji IPT bagi mencari dan mencegah masalah ini daripada menjadi semakin serius sehingga boleh menghancurkan generasi muda. "Antara satu yang saya boleh sebutkan ialah kemudahan rekreasi dan bersukan yang lengkap di setiap kampus atau kolej kediaman. "Ini kerana, pada peringkat usia mereka, pelajar lebih gemar menghabiskan masa dengan pelbagai program dan aktiviti. Jadi, jika tiada kemudahan, mereka akan keluar dan terpengaruh dengan masalah sosial," katanya. Menurutnya, untuk menghukum pelajar terjebak dengan dadah ini di IPT, pengurusan perlu mengambil langkah betul agar ia tidak memberi kesan negatif kepadanya. "Jangan terus membuang pelajar jika mereka terbabit dengan dadah, beri masa untuk sesi kaunseling. "Tetapi, selepas rawatan dan kaunseling masih mengambil dadah, jalan terakhir ialah membuang mereka dari universiti," katanya.

1 comment:

  1. rencana yang bagus dan membantu saya untuk mengarang karangan. tq

    ReplyDelete