Powered By Blogger

Selamat Datang Ke Blog SMK Syed Hassan

"Selamat Datang" diucapkan kepada para pengunjung blog. Blog ini telah dimulakan pada 15 April 2009 pada pukul 8.30 pagi di BTPN Perlis. Kandungan blog adalah mengenai kegiatan-kegiatan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Selamat melayar.

Tuesday, June 23, 2009

Pertandingan Koir Peringkat Negeri Perlis

Pada pukul 3 petang tadi, pertandingan koir peringkat negeri Perlis telah dilangsungkan di Dewan Kapitol Unimap, Kangar. Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan turut tidak ketinggalan menghantar pasukan koir ke pertandingan tersebut. Pasukan koir SMKSH mempunyai kelebihan pada pertandingan kali ini memandangkan persiapan awal yang dilakukan mereka dan juga pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan pada tahun lepas. Pasukan tersebut terdiri daripada Nur Ikhlas binti Subri sebagai konduktor, 15 orang peserta perempuan dan 17 orang lelaki dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 6 atas. Guru pengiring pula terdiri daripada guru muzik terkenal, Puan Rozita binti Ibrahim dan Puan Marta Tom. Ramai penyokong-penyokong SMKSH turut hadir memeriahkan suasana termasuklah penyokong paling setia, tuan pengetua. Persaingan pada kali ini juga kurang sengit memandangkan hanya 4 buah sekolah sahaja bertanding. Pertandingan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Perlis sendiri iaitu Encik Mansor bin Lat dan dihakimi oleh 3 orang hakim yang amat berpengalaman dalam bidang muzik. Pasukan pertama yang memulakan pertandingan ialah pasukan koir Sekolah Menengah Kebangsaan Putra dan diikuti oleh SMK Dato' Sheikh Ahmad. Pada pertengahan pertandingan, peserta dihidangkan dengan beberapa buah lagu dendangan solo pelajar tingkatan 1 SMKSH iaitu Adila dan Atifah. Antara lagu yang didendangkan mereka ialah lagu-lagu hit masa kini 'Matahariku', 'Main tarik tali', 'Kalis rindu' dan 'Relaku'. Persembahan seterusnya disambung dengan pasukan koir SMK Padang Besar Utara dengan lagu 'Jong-Jong Inai' dan 'Digarhayu Tanahairku'. Pasukan Koir SMK Syed Hassan merupakan pasukan koir terakhir membuat persembahan dengan lagu mereka 'Warisan' dan 'Putra Putri'. Tuan Pengarah dalam ucapan penutup beliau berkata, muzik harus dijadikan penjana pelajar beremosi seimbang dan kreatif. Ketika keputusan akhir dibacakan, semua peserta koir dan penyokong-penyokong SMKSH bersorak gembira apabila mendapat tahu bahawa sekolah berjaya mengekalkan kejuaraan mereka dan akan mewakili negeri Perlis ke peringkat Kebangsaan di Johor Bahru nanti. Tempat kedua jatuh kepada SMK Padang Besar Utara dan ketiga, SMK Putra. Tahniah diucapkan.

No comments:

Post a Comment