Powered By Blogger

Selamat Datang Ke Blog SMK Syed Hassan

"Selamat Datang" diucapkan kepada para pengunjung blog. Blog ini telah dimulakan pada 15 April 2009 pada pukul 8.30 pagi di BTPN Perlis. Kandungan blog adalah mengenai kegiatan-kegiatan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Selamat melayar.

Thursday, April 30, 2009

Program Peningkatan Sahsiah dan Pengimarahan Surau

Pada pagi ini, dilangsungkan Program Peningkatan Sahsiah dan Pengimarahan Surau bagi pelajar-pelajar tingkatan 4 dan kelas-kelas agama. Program yang dijadualkan setiap Jumaat ini terpaksa diawalkan ke hari ini memandangkan esok merupakan hari pekerja. Program berlangsung di surau sekolah bermula jam 7.40 pagi dengan bacaan surah Yaasin dan tazkirah oleh Ustaz Mohd Noor dan Ustazah-Ustazah yang bertugas. Program pada hari ini turut disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 6. Pelajar-pelajar kembali ke kelas pada jam 8.40 pagi.

Wednesday, April 29, 2009

Bolasepak Bawah 15 tahun MSSPs (Separuh Akhir)

Pada petang tadi, bermula jam 3.30 petang, dan bertempat di padang SM Teknik Kangar, pasukan bolasepak bawah 15 tahun SMKSH dengan jersi kuning 'keramat' mereka turun menentang SMK Tengku Suleiman bagi merebut tempat ke perlawanan akhir pertandingan bolasepak MSSPs. Gol pertama diperolehi oleh pasukan sekolah apabila hantaran-hantaran yang tepat dapat dilakukan dengan baik dari tengah padang sebelum disudahkan oleh Mohd Norhamizaref. Mohd Norhamizaref sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menyumbat gol kedua dengan mengambil kesempatan keatas keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol lawan. Gol ketiga diperolehi apabila larian pecut Muhammad Amirul melepasi pertahanan lawan sebelum hantaran silangnya disudahkan oleh Mohd Amin. Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, Mohd Amin sekali lagi menjaringkan gol melalui 'first timer' hasil gerakan satu dua diantara Muhammad Amirul dan Mohd Fakhri. Pada separuh masa kedua, permainan pasukan SMKSH nampak lebih berhati-hati mungkin untuk mengelakkan kecederaan atau kad sebelum ke perlawanan akhir. Namun yang demikian, Mohd Amin berjaya menyudahkan hatrik melalui bola muntah hasil rembatan Wan Zulhilmi. Sebelum tamat masa perlawanan, Wan Zulhilmi melakukan larian solo sebelum merembat masuk gol keenam perlawanan. Keputusan akhir 6-0 dan pasukan bolasepak bawah 15 tahun berjaya menempah tempat ke perlawanan akhir dengan rekod tanpa bolos sepanjang kejohanan. Tahniah.

Tuesday, April 28, 2009

Bolasepak bawah 18 tahun MSSPs

Pada petang tadi, bermula pukul 3.30 petang, perlawanan bolasepak MSSPs peringkat suku akhir telah menemukan SMKSH dan MRSM Beseri di padang SM Teknik Kangar. Pasukan sekolah yang memakai jersi berwarna kuning, jersi yang telah banyak membawa kemenangan kepada skuad ini, dibarisi oleh pemain-pemain skuad utama kecuali beberapa orang pemain yang masih cedera. Memandangkan perlawanan ini adalah perlawanan kalah mati, permainan dimulakan dengan agak berhati-hati. Beberapa cubaan jarak jauh dilakukan untuk menguji benteng pertahanan lawan. Namun yang demikian, Mohd Nashriq sekali lagi mencuri tumpuan selepas berjaya menggelecek 2 pertahanan lawan seterusnya menyepak bola masuk melepasi penjaga gol. Beberapa minit selepas itu, lorongan dari baik dari tengah padang tidak disiasiakan oleh Mohd Nashriq apabila berjaya menyumbat gol kedua untuk SMKSH. Untuk gol ketiga, rembatan Mohd Nashriq yang melantun keluar berjaya disudahkan oleh Shameel untuk menjadikan kedudukan pada ketika itu 3 gol tanpa balas. Namun yang demikian, sebelum tamat separuh masa pertama, pasukan MRSM berjaya menyumbat gol dari sebelah kanan padang.Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan cuba untuk menambahkan gol. Banyak cubaan cantik yang dilakukan namun kedudukan kekal 3-1 sehingga tamat masa perlawanan.

Sunday, April 26, 2009

Bolasepak Piala KPM-FAM (Perlawanan 10)

Pada 25 April 2009 bertempat di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, telah dilangsungkan perlawanan bolasepak liga KPM-FAM yang menembungkan pasukan Perlis dan pasukan tuan rumah, Pulau Pinang. Perlawanan pertama melibatkan pasukan bawah 17 tahun dimulakan pada jam 3.30 petang. Mohd Nashriq membuka jaringan dengan tendangan lambung yang memperdayakan penjaga gol yang telah keluar meninggalkan pintu gol. Pasukan tuan rumah kemudiannya menyamakan kedudukan sebelum Mohd Nashriq sekali menjaringkan gol dengan situasi yang lebih kurang sama cuma kali ini beliau menanduk tinggi melepasi penjaga gol lawan. Pada separuh masa kedua, pasukan pelawat lebih banyak bertahan tetapi akhirnya pemain pertahanan Perlis, Mohd Kamarul berjaya membolosi gol pasukan tuan rumah melalui satu rembatan kencang. Kedudukan kekal 3-1 sehingga tamat perlawanan. Bagi perlawanan pasukan bawah 14 tahun, gol Perlis dibolosi oleh pasukan Pulau Pinang pada awal separuh masa pertama tetapi kedudukan kembali terikat melalui jaringan Mohd Saifudin beberapa minit selepas itu hasil umpanan yang amat baik yang dilakukan oleh Mohd Fareez. Pada sepauh masa kedua, pasukan Perlis menggandakan asakan dan benteng pertahanan Pulau Pinang berjaya ditembusi oleh Mohd Ikmal namun gol yang dijaringkan tersebut tidak dikira kerana penjaga garisan mengangkat bendera offside. Keputusan akhir 1-1.Tiada gambar bagi perlawanan kedua kerana masalah teknikal. Harap maaf.

Friday, April 24, 2009

Program Peningkatam Sahsiah dan Pengimarahan Surau

Pada pukul 7.40 pagi tadi telah dijalankan Program Peningkatam Sahsiah dan Pengimarahan Surau khas untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 seperti yang telah dijadualkan. Program dikendalikan oleh Ustaz Mohd Nor dan Ustazah Rosadah ini dimulakan dengan sedikit tazkirah oleh Ustaz Mohd Nor mengenai fadhilat membaca surah Yaasin. Pelajar dinasihatkan supaya membaca Yaasin setiap hari sebelum datang ke sekolah bagi memberkati hari-hari mereka. Selepas bacaan Yaasin, Ustazah Rosadah menyampaikan sedikit tazkirah. Menurut beliau, bacaan Yaasin dapat menunaikan hajat kita samaada dalam bidang pelajaran atau pun kehidupan.

Thursday, April 23, 2009

Bolasepak bawah 15 tahun MSSPs

Pada hari ini telah dilangsungkan perlawanan suku akhir bolasepak bawah 15 tahun MSSPs di padang SMK Dato' Jaafar Hassan. Perlawanan kali ini menembungkan pasukan SMKSH dengan pasukan SMK (A) Arau. Perlawanan dimulakan pada pukul 3.00 petang dengan agak lembab mungkin disebabkan oleh cuaca yang terlalu panas. Namun yang demikian, pasukan sekolah berjaya menyumbat gol pertama melalui Mohd Norhamizaref yang berjaya menggelecek 2 pertahanan lawan sebelum merembat masuk ke gawang lawan. Mohd Norhamizaref atau lebih dikenali dengan nama timangan 'Black' dikalangan rakan-rakan kemudiannya sekali lagi tidak mensia-siakan peluang setelah bola yang dirembatnya terkena kaki pemain pertahanan lawan dan terus melantun ke dalam gol. Separuh masa pertama berkesudahan 2-0. Pada separuh masa kedua, Black terus menunjukkan taring dengan membuat satu tandukan yang memperdayakan penjaga gol untuk gol ketiga. Gol keempat Black diperolehi melalui satu dorongan yang amat baik dari pemain tengah dan ditolak masuk dengan senang ke gawang lawan. Gol kelima dijaringkan oleh Shazrul Hafiz, pemain simpanan yang dimasukkan pada minit-minit akhir. Tahniah diucapkan kepada Black yang menyamai rekod 4 biji gol yang dijaringkan oleh Andrei Arshavin pada perlawanan Arsenal menentang Liverpool baru-baru ini. Keputusan akhir 5-0. Pasukan SMKSH mungkin bertemu pasukan SMK Tengku Sulaiman atau SMK Kuala Perlis pada pertandingan separuh akhir nanti.

Pendidikan Pencegahan Dadah

Untuk renungan warga SMK Syed Hassan. Penyelesai masalah? 23/02/2009 Oleh Suliati Asri -suliati@hmetro.com.my Metro, JIKA difikirkan secara logik, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan mampu berfikir secara rasional, pastinya gejala penggunaan dadah di kalangan pelajar kolej atau universiti seharusnya tidak terjadi. Namun, pendidikan bukan jaminan seseorang itu bersih daripada masalah sosial yang kian menular di kalangan masyarakat kini. Ini terbukti apabila seramai 95 orang atau kira-kira dua peratus daripada 12,352 penagih dadah yang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara tahun lalu, membabitkan pelajar kolej atau penuntut universiti. Sebahagian besar daripada jumlah pelajar itu mengambil dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik dan baru pada peringkat awal terbabit dalam penagihan dadah. Selain itu, kajian yang dilakukan di sebuah universiti mendapati dua daripada 1,000 pelajar terbabit dengan dadah. Jika dilihat kepada purata kajian itu dengan jumlah IPT yang ada di negara kita, pasti ramai antara pelajar kita yang terbabit dalam pengambilan najis dadah ini. Sudah banyak usaha yang dilakukan negara terutama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahaya dadah, namun masalah ini terus berleluasa. Iklan di kaca televisyen dan akhbar menelan jutaan ringgit dan kempen yang dijalankan bagaikan tidak ada fungsinya. Pastinya, sebagai bijak pandai, mereka tahu baik buruk dan kesan daripada penggunaan dadah ini, namun mengapa masih menjadikan dadah sebagai teman? Awang (bukan nama sebenar) penuntut tahun akhir di sebuah IPT di ibu negara berkata, sebagai pelajar, mereka mengetahui kesan dan akibat pengambilan dadah. Banyak faktor pelajar terbabit mengambil dadah. "Pelajar mengambil dadah kerana ingin berseronok dan lari daripada masalah terutama masalah peribadi. "Dengan sumber kewangan terhad dan hanya bergantung kepada wang pinjaman pendidikan, peluang berseronok itu terhad. "Oleh itu, dadah dijadikan hiburan kerana harganya mengikut kos yang mampu dibayar pelajar. Banyak duit, banyaklah bekalan yang diperoleh," katanya. Selain itu, keistimewaan atau daya penarik dadah ia mampu mengkhayalkan seseorang itu. "Apabila saya mengambil dadah, kepala serabut dengan pelbagai masalah terutama keluarga dan pelajaran hilang," katanya. Seseorang pengguna dadah juga dikatakan lebih kuat atau berani dalam melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, ialah di kalangan Mat Rempit. Sebelum melakukan aksi berbahaya, mereka menggunakan dadah dan hasilnya mereka boleh berjaga malam. Bagaimanapun, tidak semua pelajar menggunakan dadah hanya untuk berseronok dan keluar daripada masalah. Ini kerana, menurut Awang, ada segelintir pelajar menggunakan dadah untuk lebih fokus dalam pembelajaran. "Apabila mengambil dadah, kita boleh berjaga malam dan kepala lebih tenang serta pemikiran menjadi kosong. "Dengan itu, apa juga yang di pelajari atau dibaca, kita boleh mengingatinya. Kebiasaannya, ia dilakukan mereka yang tidak ada masa cukup untuk mengulang kaji pelajaran," katanya. Apa pun, menurutnya, dadah tetap dadah dan ia memberi banyak kesan negatif berbanding positif. "Saya mengaku terbabit dengan dadah dan sedang berusaha meninggalkan benda terkutuk ini. "Mulanya, hanya berseronok namun sebenarnya boleh membawa ketagihan. "Ketagihan merosakkan seseorang walaupun ia belajar sampai ke peringkat lebih tinggi," katanya. Sementara itu, seorang lagi pelajar IPT, Daniel (bukan nama sebenar) berkata, jenis dadah digunakan pelajar berbeza-beza dan kesannya tidak sama. "Biasanya mereka akan menggunakan dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik," katanya. Penagih dadah di kalangan pelajar juga mempunyai istilah tersendiri seperti kapal selam, balut dan pipon. Rektor Kolej Poly-Tech Mara, Datuk Dr Mohd Razali Agus berkata punca cerdik pandai ini terjerumus dalam penagihan banyak faktor. "Banyak perlu dikaji IPT bagi mencari dan mencegah masalah ini daripada menjadi semakin serius sehingga boleh menghancurkan generasi muda. "Antara satu yang saya boleh sebutkan ialah kemudahan rekreasi dan bersukan yang lengkap di setiap kampus atau kolej kediaman. "Ini kerana, pada peringkat usia mereka, pelajar lebih gemar menghabiskan masa dengan pelbagai program dan aktiviti. Jadi, jika tiada kemudahan, mereka akan keluar dan terpengaruh dengan masalah sosial," katanya. Menurutnya, untuk menghukum pelajar terjebak dengan dadah ini di IPT, pengurusan perlu mengambil langkah betul agar ia tidak memberi kesan negatif kepadanya. "Jangan terus membuang pelajar jika mereka terbabit dengan dadah, beri masa untuk sesi kaunseling. "Tetapi, selepas rawatan dan kaunseling masih mengambil dadah, jalan terakhir ialah membuang mereka dari universiti," katanya.

Tuesday, April 21, 2009

Perkhemahan Kor Kadet Polis Negeri Perlis 2009

Berkhemahan tersebut telah diadakan di Pusat Kokurikulum Perlis, Timah Tasoh pada 10 hingga 13 April 2009 yang lalu melibatkan anggota kadet lelaki dan wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan seramai 68 orang. Setiap anggota kadet berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan seperti pertandingan kawad kaki, merentas halangan, jalan lasak, ronda pandu arah dan merentas desa. Walaupun kontinjen sekolah tidak berjaya merangkul kejayaan untuk setiap pertandingan, pujian harus diberikan kepada semua peserta ronda pandu arah wanita kerana telah mendapat tempat yang ke-3. Tahniah!Jangan berputus asa. Kita akan mencuba lagi pada tahun hadapan. Syed Hassan Boleh!

Monday, April 20, 2009

Bolasepak bawah 18 tahun MSSPs

Pada 20 April 2009 telah dilangsungkan perlawanan pusingan kedua bolasepak bawah 18 tahun MSSPs. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3.00 petang itu telah ditunda ke pukul 4.00 petang atas sebab-sebab teknikal. Pasukan SMKSH yang berjersi kuning bertemu pasukan dari SMK Syed Saffi untuk perlawanan kalah mati pusingan kedua untuk menentukan siapa yang layak ke suku akhir. Pasukan sekolah bermula garang dengan menyerang bertubi-tubi sebelum gol pihak lawan berjaya ditembusi dari sudut tepi oleh Mohd Syafiq. Selang beberapa minit, giliran Mohd Nashriq pula menyumbat gol kedua SMKSH. Sebelum tamat separuh masa pertama, tendangan padu dari flanker kanan, Abdullah Am membolosi gol lawan untuk kali ketiga. Imran Arief terpaksa dikeluarkan kerana terkehel siku kiri (Sila rujuk gambar). Pada separuh masa kedua, pasukan sekolah terus membuat serangan demi serangan dan tanpa disangka-sangka pemain pertahanan,Muhammad Arif Zikri membuat tendangan dari luar kotak penalti untuk gol keempat. Gol kelima dijaringkan oleh Shameel diatas kelekaan pertahanan lawan. Muhammad Nashriq sekali lagi berjaya menjaringkan gol selepas berjaya melepasi perangkap offside menjadikan kedudukan tujuh berbalas kosong. Dua gol terakhir dijaringkan oleh Amir Zaqwan. Keputusan akhir 8-0.

Sunday, April 19, 2009

Bolasepak Piala KPM-FAM (Perlawanan 9)

Pada hari Sabtu tersebut juga telah dilangsungkan Perlawanan Bolasepak Liga KPM FAM di Stadium Mini UiTM Arau melibatkan pasukan bawah 14 tahun dan bawah 17 tahun SMKSH yang mewakili negeri Perlis. Pada minggu ini, giliran pasukan SMK Clifford dari Kuala Kangsar yang mewakili negeri Perak berkunjung ke Perlis. Perlawanan bermula pada pukul 3.30 petang bagi pasukan bawah 17 tahun. Pasukan Perlis berjersi kuning telah berjaya mendahului separuh masa pertama dengan jaringan 2-1. Gol-gol dijaringkan oleh Mohd Faqeem Aswad dan Mohd Amin Jusoh. Pasukan Perak berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua melalui sepakan penalti dan seterusnya mendahului dengan jaringan 3-2. Agak malang bagi pasukan Perlis kerana banyak percubaan yang menarik namun tidak membuahkan hasil. Perlis kalah 3-2. Perlawanan seterusnya bermula pada pukul 5.30 petang bagi pasukan bawah 14 tahun. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama. Sebermulanya separuh masa kedua, pasukan Perak menjaringkan gol pendahuluan sebelum diikat kembali kepada 1-1 oleh Mohd Aizam. Namun yang demikian, pasukan Perak akhirnya berjaya menjaringkan sebiji lagi gol untuk membolehkan Perak menang 2-1. Walaupun kalah kedua-dua perlawanan, diharapkan pasukan Perlis akan menggandakan lagi cabaran untuk liga yang masih berbaki 3 perlawanan ini.

Bolasepak bawah 15 tahun MSSPs

Pada 18 April 2009 bertempat di padang SMK Dato Jaafar Hassan, pasukan bolasepak bawah 15 tahun SMKSH bertemu dengan pasukan bolasepak SMK Arau untuk pertandingan bolasepak MSSPs pusingan kedua. Perlawanan ini adalah perlawanan kalah mati pusingan kedua untuk merebut tempat ke suku akhir. Pasukan sekolah yang berjersi kuning merupakan juara kumpulan manakala pasukan SMK Arau yang berjersi hitam merupakan naib johan kumpulan. Perlawanan bermula pada pukul 8.30 pagi dan pasukan sekolah telah berjaya menjaringkan 5 gol tanpa balas pada separuh masa pertama. Gol-gol dijaringkan oleh: Wan Zulhilmi (1 gol), Mohd. Norhamizaref (2 gol), Muhammad Amin (1 gol) dan Ahmad Fakhri (1 gol). Pada separuh masa kedua, Mohd Amirul menjaringkan 2 gol berturut-turut dan Muhammad Amin menjaringkan gol kedua peribadi. Mohd Norhamizaref melengkapkan hatrik pada minit-minit terakhir perlawanan. Keputusan rasmi 9-0.

Latihan dalam perkhidmatan

Pihak pentadbiran SMKSH telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu kursus dalam perkhidmatan pada hari Sabtu, 18 April 2009. Kursus tersebut dikendalikan oleh tuan pengetua, En. Abdul Aziz bin Abdullah dan Penolong Kanan Akademik, Puan Wadzirah binti Ridzuan. Kursus mengenai 'Standard Kualiti Pendidikan Malaysia' tersebut yang bermula pada pukul 8.00 pagi di Bilik Wawasan dimulakan dengan penerangan tuan pengetua mengenai mesyuarat dan prosedur kewangan. Sesi kedua diambil oleh Penolong Kanan Akademik di Bilik Wawasan 2 selepas minum pagi. Beliau telah memberikan penerangan yang jelas dengan menggunakan slaid-slaid powerpoint yang disediakan. Guru-guru juga telah diagihkan tugas-tugas khas bagi melancarkan proses implementasi standard kualiti tersebut. Diharapkan kursus tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada guru-guru dan standard kualiti tersebut berjaya dicapai.

Friday, April 17, 2009

Program Peningkatan Sahsiah dan Pengimarahan Surau

Mulai 17 April sehingga 22 Mei 2009, Program Peningkatan Sahsiah dan Pengimarahan Surau akan dijalankan pada setiap hari Jumaat bermula pada pukul 7.40 sehingga 8.15 pagi, bertempat di surau sekolah. Bagi program pada hari ini, kumpulan sasaran ialah pelajar-pelajar beragama islam tingkatan 3. Program ini dikendalikan oleh guru-guru agama dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah bacaan suran Yaasin dan tazkirah oleh guru yang bertugas. Pada hari ini, tazkirah diberikan oleh Ustaz Mohd Nor mengenai akidah pelajar muslim. Pelajar-pelajar tingkatan 3 juga bertuah kerana Tuan Pengetua turut hadir dan memberikan sedikit tazkirah mengenai kepentingan ilmu. Tuan Pengetua juga mengingatkan supaya pelajar-pelajar rajin membaca Al-Quran di rumah. Antara guru-guru yang hadir termasuklah Penolong Kanan HEM, guru kaunseling dan guru-guru matapelajaran pada waktu tersebut. Perjumpaan seterusnya adalah pada 24 April 2009 bagi pelajar-pelajar muslim tingkatan 5.

Parliamentary Style English Debate Competition

On the 16th of April 2009, Syed Hassan's debaters were challenged by SMK Teknik Kangar for the Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad Trophy on the Perlis northern zone competition held at SMK Padang Besar Utara. The debaters; Saedah Zakirah bt Zul Azhar as the first speaker, Nur Hafizh b Abd Hamid as the second, and Abirami a/p Kalaiselvan as the third; were elected as the government with the debate topic 'students should be encouraged to take part time job'. The debaters were confident and the battlefield was conquered but only luck was not on their side. Although a little bit disappointed with the result, the debaters promised to try harder the next time. Actually there is an advantage to our school since most of the debaters are still in form 3. Hopefully the next debate will be ours. For those who would like to join the team please consult Pn. Khairul Bariyah, Pn. Norzita or Pn.Noor Azlin. *Adila bt Adnan and Nur Sazielah bt Yusoff were the reserve speakers

Wednesday, April 15, 2009

Pertandingan Forum Remaja

Pertandingan Forum Remaja Kawasan Pelajaran Utara Perlis 2009 telah berlangsung pada 15-16 April 2009 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan sebagai tuan rumah. Dewan Dato Jaafar Hassan menyaksikan13 pasukan dari 13 buah sekolah bertanding untuk merebut 3 tempat ke pertandingan akhir peringkat negeri. SMKSH diwakili oleh;
1. Pengerusi : Liyana Afiqah binti Nawawi
2. Panel 1 : Siti Nabilah binti Mustaffa
3. Panel 2 : Amira binti Salim
4. Panel 3 : Nur Sazielah binti Yusoff
5. Simpanan : Nour Amera binti Md Nordin
dengan tajuk forum yang diberikan "Keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar dan remaja : Di mana penyelesaiannya".
Dengan berbekalkan semangat dan persediaan yang mantap, pasukan sekolah telah berjaya merebut tempat ke pertandingan akhir Forum Remaja Peringkat Negeri Perlis. Dua lagi tempat telah digondol oleh SMK Derma dan MATRI. Tahniah diucapkan kepada pasukan SMKSH dan diharapkan dapat membawa lebih banyak kejayaan demi sekolah tercinta. Sekalung terima kasih kepada Encik Sharudin Mahmud, Ketua Unit Kokurikulum JPNPs yang sudi meluangkan masa untuk menutup pertandingan dan menyampaikan hadiah untuk pemenang-pemenang. Sejambak penghargaan kepada para hakim yang arif lagi adil dalam menegakkan hukum dan peraturan. Setinggi-tinggi penghormatan kepada ahli-ahli jawatankuasa yang bekerja keras mengendalikan majlis yang gilang gemilang tersebut.