Powered By Blogger

Selamat Datang Ke Blog SMK Syed Hassan

"Selamat Datang" diucapkan kepada para pengunjung blog. Blog ini telah dimulakan pada 15 April 2009 pada pukul 8.30 pagi di BTPN Perlis. Kandungan blog adalah mengenai kegiatan-kegiatan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Selamat melayar.

Wednesday, May 20, 2009

Hari Guru 2009

Pada 19 Mei 2009, sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah dilangsungkan dengan tema pada tahun ini 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Hari Guru merupakan satu hari perayaan yang ditunggu-tunggu oleh guru-guru kerana pada hari ini jerih perih guru-guru memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar diberikan penghargaan dan lazimnya guru-guru akan mendapat hadiah daripada pelajar-pelajar. Perayaan bermula pada pukul 7.40 pagi bilamana guru-guru berkumpul di Bilik Wawasan. Tuan Pengetua mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru dan mengajak mereka memuhasabah diri sepanjang tempoh persekolahan tahun ini. Guru-guru kemudiannya diarak ke dewan bersama-sama paluan kompang dan bunga manggar seterusnya disambut tabik hormat daripada pasukan kadet polis. Pasukan PKBM pula kemudiannya membuat sedikit persembahan gimik peperangan bagi membuka majlis yang dipengerusikan oleh Syed Muhd Anwar dan Amalina Farhah. Pasukan kadet polis kemudiannya mengambil tempat di atas pentas dengan satu pertunjukan tempur tanpa senjata. Selepas itu majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Mohd Iqbal sebelum ketua pelajar, Mohammad Amzar, memberikan ucapan penghargaan mewakili pelajar-pelajar ke atas jasa guru-guru SMKSH. Penolong Kanan HEM, Ustaz Rosli bin Long, kemudiannya membacakan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia manakala Penolong Kanan Akademik, Puan Wadzirah binti Ridzuan, membacakan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia. Tuan Pengetua kemudiannya memberikan ucapan dan diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi PIBG SMKSH, Puan Azihani binti Dato' Ali. Pelancaran dilangsungkan secara simbolik apabila pihak pentadbiran sekolah dan pengerusi PIBG bersama-sama memecahkan bongkah ais di atas pentas. Selepas itu, semua guru dipanggil ke atas pentas untuk sama-sama melafazkan ikrar dan menyanyikan lagu tema hari guru pada tahun ini. Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan nukilan hati Puan Siti Esah dengan sajak ciptaan beliau mengenai pelajar-pelajar SMKSH. Pengawas-pengawas tingkatan 3 juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan sebuah sajak berbahasa inggeris. Selepas bacaan sajak, semua hadirin dihiburkan dengan nyanyian koir dari pasukan koir sekolah dengan 3 buah lagu yang diberikan rentak baru. Selepas itu, cabutan bertuah dijalankan dikalangan guru-guru. Diantara guru-guru yang bertuah pada hari itu ialah Encik Ishak, Encik Saiful, Puan Wan Sabariah dan Puan Rodiah. Tamat cabutan bertuah, Penolong Kanan Kokurikulum memberikan anugerah khas kepada pasukan bolasepak, persatuan Bahasa Melayu dan pasukan kadet polis. Penolong Kanan HEM pula memberikan anugerah khas kepada unit biasiswa, unit disiplin dan unit SPBT. Penolong Kanan Akademik pula memberikan anugerah khas kepada unit peperiksaan, panitia pendidikan islam dan bilik wawasan 2. Anugerah khas pengetua pada tahun ini pula jatuh kepada Encik Abdul Manaf, Encik Dzulhawira dan Puan Rozita. Pada pukul 10 pagi, satu jamuan dijalankan di bilik wawasan dan pertukaran hadiah diantara guru-guru dilangsungkan. Guru-guru kemudiannya menukar kepada pakaian sukan untuk menyertai sukaneka yang dilangsungkan di padang dibawah kelolaan Puan Noriza dan pelajar-pelajar tingkatan enam. Antara sukaneka yang dijalankan ialah futsal, bola jaring campuran, boling buah kelapa, membaling belon dan kerusi muzik. Pada pukul 1.00 petang, majlis penutup dilangsungkan di dewan sekolah diiringi persembahan band dan okestra. Tuan Pengetua turut menyumbangkan suara melalui lagu 70an 'Kenanganku'. Majlis ditutup dengan anugerah guru popular dirangkul oleh Ustaz Rosli dan Ustazah Syarifah, kedua-duanya dari unit disiplin.

No comments:

Post a Comment